Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BERAKAS, Selasa, 28 April. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan Republik Finland, Tuan Yang Terutama Anders Adlercreutz, bertempat di Bilik At-Taqwa, Pejabat Menteri Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Berakas.
Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua menteri telah bertukar pandangan mengenai keutamaan utama dalam bidang pendidikan di negara masing-masing serta meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan.
Kedua-dua pihak turut menyatakan penghargaan terhadap perbincangan yang diadakan dan berharap agar penglibatan serta kerjasama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
Tuan Yang Terutama Anders Adlercreutz juga berkesempatan untuk mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Rimba III, di mana TYT diperkenalkan kepada beberapa pameran pendidikan termasuk Micro:bit dan pengekodan, STEAM Education and Skills (SES) serta aktiviti Keperluan Pendidikan Khas (SEN).
Lawatan tersebut memberikan peluang yang bermakna untuk meninjau amalan pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah serta berinteraksi secara langsung dengan para pelajar dan tenaga pengajar.
TYT kini berada di Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri 25th ASEAN-EU Ministerial Meeting, yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam.